𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐓𝐚𝐡𝐟𝐢𝐳 𝐭𝐞𝐫𝐮𝐬 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐌𝐞𝐧𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐔𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐌𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐢 𝐊𝐨𝐬 𝐒𝐚𝐫𝐚 𝐇𝐢𝐝𝐮𝐩
04 November 2025
𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐓𝐚𝐡𝐟𝐢𝐳 𝐭𝐞𝐫𝐮𝐬 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐌𝐞𝐧𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐔𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐌𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐢 𝐊𝐨𝐬 𝐒𝐚𝐫𝐚 𝐇𝐢𝐝𝐮𝐩
Seterusnya di Parlimen, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi meneliti dan membincangkan beberapa dasar utama dan hala tuju Kerajaan berkaitan inisiatif dan strategi dalam menangani isu kos sara hidup.
Antara tumpuan utama yang dibincangkan ialah pelaksanaan Program TVET Tahfiz, hasil kerjasama pelbagai kementerian dan agensi termasuk KPT, KPM, JAKIM, MARA dan KESUMA. Melalui inisiatif ini, pelajar tahfiz dan pondok akan diberi akses kepada program kemahiran yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Malaysian Qualifications Agency (MQA). Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran mereka, tetapi juga memperkukuh pendapatan komuniti Islam dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Mesyuarat turut meneliti isu kos tambahan persekolahan seperti tambang bas dan yuran PIBG yang membebankan ibu bapa berpendapatan rendah. Kementerian Pendidikan Malaysia kini sedang menilai semula struktur perbelanjaan persekolahan serta meneroka kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memperluas perkhidmatan bas percuma untuk golongan B40.
Insya-Allah, melalui sinergi pelbagai pihak dan pendekatan berasaskan data serta realiti kehidupan rakyat, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh inisiatif penjanaan pendapatan, bantuan bersasar dan program intervensi harga demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
